Ibnu Sirin rah. meriwayatkan bahawa apabila Hazrat Abu Bakar r.a. hampir meninggal dunia, beliau telah berkata kepada Hazrat ‘Aishah r.anha, “Hatiku tidak ingin mengambil apa-apa dari Baitul-mal, tetapi Hazrat ‘Umar r.a. tidak membenarkan daku kerana takut menyusahkan daku. Lagi pun kesibukan perniagaanku akan merugikan orang Islam yang lain. Dengan sebab itu aku terpaksa menerima pemberian itu. Selepas kematianku, serahkanlah kebunku itu (yang berada di sekian tempat) kepada Baitul-mal sebagai ganti.”

Mari kita renungi bersama, banyak mana sangatlah jumlah yang telah diambil oleh Hazrat Abu Bakar r.a.? Dalam menggunakan jumlah yang diambilnya itu pun, masih lagi berhati-hati sedaya mungkin. Apabila isterinya bersusah-payah menahan keinginan demi mengumpulkan sejumlah wang untuk membeli sedikit manisan, wang itu dikembalikan ke Baitul-mal dan wang saraannya dipotong sebanyak yang telah disimpan oleh isteri beliau. Sungguhpun beliau telah mengambil kesemua tindakan di atas namun beliau masih menggantikan kesemua harta Baitul-mal yang telah digunakan oleh beliau.