Monday, February 20, 2012
HAJI YANG DITERIMA
Pada suatu musim haji, Abdullah bin Mubarak yang sedang menunaikan haji telah tertidur di Masjidil Haram. Ketika di dalam tidur, dia telah bermimpi dua orang malaikat turun ke bumi. Salah seorang daripadanya telah berkata:
“Berapakah bilangan orang yang menunaikan haji tahun ini?”
“Enam ratus ribu”, jawab temannya.
Dia bertanya lagi:
“Berapa pula yang diterima?”
Temannya menjawab:
“Tiada seorang yang haji mereka diterima. Namun ada seorang yang tidak dapat menunaikan fardhu haji tetapi diterima hajinya, sehingga semua orang yang menunaikan haji pada tahun ini diterima disebabkan berkat hajinya. Dia adalah Muwaffaq seorang tukang kasut yang tinggal di Damsyik.”
Setelah Abdullah bin Mubarak tersedar daripada tidurnya, dia terus bangun lalu pergi ke Damsyik. Dia mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga bertemu rumahnya. Ketika diketuk pintu rumahnya, keluarlah seorang lelaki. Abdullah bin Mubarak segera bertanyakan namanya.
“Muwaffaq”,jawabnya.
Abdullah terus bertanya kepadanya bagaimana dia mendapat darjat yang begitu tinggi.
Maka Muwaffaq menceritakan kisahnya yang sebenar. Dia telah dapat mengumpulkan wang sebanyak tiga ratus dirham dari hasil pekerjaannya membuat dan menampal kasut. Oleh itu, dia berniat untuk menunaikan haji.
Pada masa itu, isterinya sedang hamil. Suatu hari isterinya telah tercium bau makanan masakan jirannya dan amat teringin untuk merasai masakan itu. Lalu Muwaffaq pergi ke rumah jirannya dan menyampaikan hasrat isterinya.
Jirannya dengan nada sedih berkata:
“Aku terpaksa membuka rahsia yang sebenar. Sebenarnya anak-anakku yang yatim telah tiga hari tidak makan, maka aku telah keluar mencari makanan untuk mereka. Kemudian aku bertemu dengan bangkai himar di suatu tempat, maka aku potong sebahagian dagingnya dan membawanya pulang untuk dimasak. Jadi makanan itu halal bagi kami dan haram bagi kamu.”
Muwaffaq amat terharu mendengar kisah jirannya. Dia terus pulang ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham yang dikumpulnya selama ini dan diberikan kepada wanita itu sebagai perbelanjaan anak-anaknya yang yatim.
Sebab itulah dia tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini kerana wang yang dikumpulkan selama ini telah diberikan kepada wanita itu. Dengan berkat keikhlasan membantu jirannya itu, ALLAH S.W.T. telah memberi ganjaran pahala haji kepadanya.
Muwaffaq menambah lagi:
“Sebenarnya hajiku berada di depan pintu rumahku.”
Semoga daripada kisah ini, kita dapat mengambil iktibar dalam kehidupan kita. Ulama sentiasa menafsirkan sifat keikhlasan itu seperti semut hitam yang berada di atas batu yang hitam di waktu malam yang gelap. Kita tidak dapat melihat kehadiran semut di atas batu itu, namun hakikatnya ia tetap ada. Sentiasalah ikhlaskan hati dalam beramal, semoga semuanya diterima olehNYA.
Labels:
KISAH TELADAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment