Monday, June 4, 2012

BERSANGKA BAIK SESAMA MUSLIM

    Dari Anas bin Malik r.a. meriwayatkan, kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. apabila Baginda s.a.w. bersabda, “Seorang penghuni syurga akan datang kepada mu sekarang.” Tidak lama kemudian seorang Ansar datang, dari janggutnya berjatuhan titisan-titisan air wudhu’ dan dia memegang kasutnya dengan tangan kirinya. Pada hari yang kedua Rasulullah s.a.w. mengulangi perkataannya. Sekali lagi orang Ansar yang sama datang dalam keadaan yang sama yang mana dia datang pada hari yang pertama. Pada hari yang ketiga Rasulullah s.a.w. mengulangi perkataan yang sama dan sahabat itu datang lagi dalam keadaan yang sama.

  
      Apabila Rasulullah s.a.w. pergi, Abdullah bin ‘Amr r.huma mengikuti orang Ansar itu ke rumahnya dan berkata kepadanya, “Aku telah bertengkar dengan ayah ku dan telah bersumpah bahawa aku tidak akan pulang kembali kepadanya selama tiga hari. Bolehkah aku tinggal di rumah mu selama tiga hari?” Dia berkata, “Baik sekali.” Anas r.a. meriwayatkan bahawa Abdullah r.a. menceritakan bahawa dia tinggal tiga malam dengan sahabat Ansar itu, tetapi dia tidak melihatnya beribadah pada malam hari kecuali apabila dia terbangun dan mengubah kedudukan tidurnya di atas tempat tidur, dia memuji ALLAH S.W.T. dan berkata, “ALLAHUAKBAR”, sehingga dia bangun untuk bersolat subuh dari tempat tidurnya. Ada satu perkara lagi bahawa aku tidak pernah mendengar sesuatu yang keluar daripada mulutnya kecuali yang baik sahaja.


    Apabila tiga malam berlalu dan aku mengira amalan-amalannya biasa sahaja, dia berkata kepada Ansar itu, “Hai hamba ALLAH, tidak ada pertengkaran antara aku dan ayah ku atau tidak ada perselisihan tetapi aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. mengatakan tiga kali tentang engkau, bahawa seorang penghuni syurga sedang datang kepada kita dan engkau datang kepada kami pada tiga waktu itu. Aku berfikir, aku akan tinggal dengan mu dan melihat amalan yang istimewa yang engkau kerjakan supaya aku dapat mengamalkannya. Meskipun demikian, aku tidak melihat engkau melakukan sesuatu amalan yang istimewa. Apa yang telah menaikkan engkau kepada darjat yang Rasulullah s.a.w. nyatakan tentangmu?” Orang Ansar itu menjawab, “Amalan-amalan yang engkau lihat adalah biasa.” Abdullah r.a. berkata, “Mendengarkan jawapan itu aku terus pergi. Apabila aku hendak pergi, orang Ansar itu memanggil aku kembali dan berkata, “Engkau telah melihat amalan ku tetapi ada satu hal sebagai tambahan, aku tidak mempunyai perasaan buruk dalam hatiku tentang seorang muslim. Aku tidak iri hati jika ALLAH S.W.T. menganugerahkan kepada orang lain suatu nikmat istimewa.” Abdullah r.a. berkata, “inilah amalan yang telah menaikkan mu kepada kedudukan itu dan inilah suatu amalan yang tidak dapat kami lakukan. (HR Musnad Ahmad, Bazzar dan Majma uz Zawaid)

    Suatu amalan yang sukar untuk seseorang lakukan, bersangka baik pada setiap muslim. ALLAH S.W.T. tidak pernah melihat paras rupa, pangkat, darjat dan seumpama dengannya untuk memuliakan seseorang, tapi dengan amalan soleh seseorang yang miskin, berpakaian buruk akan mendapat darjat yang tinggi di sisi ALLAH S.W.T... Dunia hanyalah tempat tumpangan yang mana suatu hari nanti kita akan berpindah ke tempat yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Hanya dua pilihan iaitu syurga dan neraka. Jika di timbang amalan baik yang begitu banyak dengan hanya nikmat sebelah mata sahaja, nescaya nikmat sebelah mata lebih memberati. Jadi, kenapa perlu kita sebagai hamba yang mempunyai taraf yang sama di sisi ALLAH S.W.T. untuk berbangga diri dengan amalan kebaikan yang kita lakukan. Seharusnnya kita perlu bersyukur hari demi hari kerana diberi nikmat lagi dan lagi untuk melakukan kebaikan dan di beri kesempatan untuk membetulkan kesilapan yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi diberi peluang oleh ALLAH S.W.T. untuk bertaubat dengan segala dosa yang kita lakukan. Perkara yang penting telah diceritakan dalam kisah di atas bagaimana seorang yang tiada amalan istimewa tetapi hanya dengan hati yang suci tidak pernah bersangka buruk dan tidak pernah ada sikap dengki dan iri hati terhadap muslim yang lain. InsyaALLAH, dari apa yang dapat saya kisahkan di sini, dapatlah kita sesama muslim bersikap baik mahupun di dalam hati terhadap muslim yang lain. Semoga ALLAH S.W.T. memberi taufiq dan hidayah kepada kita utuk amal dan sampaikan kepada sahabat-sahabat yang lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...