Nabi Sulaiman a.s. juga telah dikurniakan satu lagi mukjizat iaitu dapat menggunakan angin sebagai kenderaan untuk pergi ke suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Selain daripada itu dapat juga dijadikan kenderaan untuk mengawasi dan memeriksa kerajaan serta rakyatnya. Nabi Sulaiman a.s. tidak hanya terbatas untuk menjaga sekalian manusia malahan termasuklah binatang, jin, syaitan dan segala yang melata di permukaan bumi ini adalah menjadi rakyatnya yang patuh dan tunduk di bawah kekuasaannya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari tatkala Nabi Sulaiman a.s. sedang menaiki angin untuk mengawasi kerajaannya, Nabi Sulaiman a.s. telah sampai ke negeri Askalan. Di situ baginda telah sampai ke sebuah lapangan luas yang penuh dengan semut-semut.
Apabila setibanya Nabi Sulaiman a.s. serta bala tenteranya sampai dilapangan itu, baginda telah melihat sekalian semut-semut itu terperanjat atas kedatangan Nabi Sulaiman a.s. Semut-semut itu berkumpul di mana mereka telah bermesyuarat bersama-sama bagi mengelakkan diri daripada injakan kaki tentera Nabi Sulaiman a.s.. Sekalian semut itu dapat dilihat, didengar dan difahami oleh Nabi Sulaiman a.s. Malahan Nabi Sulaiman a.s. dapat mendengar dengan jelas perintah daripada panglima semut kepada rakyatnya. Berkata sang panglima semut, “Hai sekalian rakyat ku! Masuklah kalian semua dengan cepat ke rumahmu masing-masing supaya terselamat kamu dari injakan kaki tentera Sulaiman sedang mereka sendiri tidak merasakannya!”.
Mendengar kata-kata semut itu, Nabi Sulaiman a.s. tersenyum dan merasa gembira atas kesanggupan yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada dirinya hingga berupaya memahami bahasa semut itu. Maka Nabi Sulaiman a.s. merasakan bahawa sebagai seorang Nabi, baginda berkewajipan juga untuk memerintahkan kepada manusia agar mereka itu menaruh belas kasihan kepada sekalian binatang yang berada di atas muka bumi ini.
Maka sujudlah Nabi Sulaiman a.s. menyembah Allah S.W.T. sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat dan kurnia Tuhan. Baginda juga berdoa agar baginda dan sekalian kaumnya dimasukkan ke dalam golongan hamba-hambaNya yang soleh. “Sekalian itu adalah kurniaan Allah S.W.T. kepada diriku untuk menguji apakah aku dapat bersyukur atau akan kufur nikmat terhadapNya.” Kata Nabi Sulaiman a.s..
No comments:
Post a Comment