Thursday, October 13, 2011

SUNNAH RAMBUT RASULULLAH S.A.W...

    Diriwayatkan dari al-Bukhari daripada Barra’ ibnu Azib r.a. katanya: “Nabi s.a.w. adalah seorang yang tidak terlalu tinggi dan tidak rendah, dadanya bidang, Baginda mempunyai rambut yang melebihi pelipis telinganya, aku melihatnya di dalam dua helai burdah (Baju yang dikait dengan jaluran merah dengan hitam). Tidak pernah aku melihat sesuatu yang lebih cantik dari Baginda s.a.w…

    Muslim pula meriwayatkan dari Barra’: “Rasulullah s.a.w. bukanlah seorang lelaki yang mempunyai rambut yang terlalu kerinting tidak juga terlalu lurus. Baginda s.a.w. juga tidak terlalu tinggi dan tidak rendah, dadanya bidang, rambutnya lebat sehingga hujung rambutnya mencecah bahu.”

    Di dalam riwayat yang lain oleh Muslim daripada Anas r.a. bahawa rambut Rasulullah s.a.w. tidak terlalu kerinting dan tidak juga terlalu lurus (di antara keduanya) di antara kedua telinganya dan bahu.”

    Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.anha katanya: “Rambut Rasulullah s.a.w. mencapai hujung bahagian bawah pelipis telinganya dan tidak mencecah kedua bahunya.”

    Berkata al-Hafidz abu-Hafiz al-Fadly al-Iraqi: “Telah diriwayatkan mengenai rambut Rasulullah s.a.w. ke dalam tiga rupa iaitu pertama rambut yang mencapai hujung bawah pelipis telinga (tetapi tidak mencecah bahu). Kedua bahagian rambut yang melebihi hujung bahagian bawah pelipis telinga tetapi tidak sehingga meencecah bahu. Ketiga, rambut yang melebihi hujung bahagian bawah pelipis telinga sehingga mencecah bahu.”

    Berkata al-Qari di dalam syarah ash-Syamail karangan Imam at-Tarmidz bahawa Nabi s.a.w. telah mencukur rambutnya sewaktu Umrah dan Haji. Di dalam masa selepas mencukur rambut, Baginda s.a.w. hamper ke pertengahan kedua telinganya kemudian panjang sedikit demi sedikit sehingga mencapai hujung bahagian bawah pelipis telinganya dan barang apa yang di antara kedua telinganya dan bahu. Paling panjang rambut Baginda s.a.w. adalah mencecah kedua bahunya jika jarak masa selepas Baginda bercukur lebih lama. Maka setiap perawi telah memberitahu berdasarkan apa yang dilihat olehnya.

    Kemudian aku telah melihat di dalam syarah al-Masobih, pengarang mengatakan: “Sekira-kiranya perselisihan pendapat di dalam kadar panjang rambut Rasulullah s.a.w. adalah disebabkan zaman-zaman yang berbeza kerana sesungguhnya Baginda s.a.w. tidak mencukur rambutnya pada tahun selepas hijrah melainkan di dalam berlansungnya perjanjian Hudaibiah, kemudian di dalam Baginda s.a.w. melakukan Umrah Qada’ dan kemudian di dalam tahun berlakunya Hijatul Wida’.”

    Sesungguhnya Nabi s.a.w. memanjangkan rambutnya dan tidak mencukurnya selepas hijrah melainkan sebanyak tiga kali yang dinyatakan tersebut. Ia menunjukkan bahawa memanjangkan rambut itu adalah sunnah kepadanya di dalam kebanyakan keadaan. Ketiga-tiga rupa rambut Rasulullah s.a.w. yang dinyatakan sebelum ini adalah sunnah Baginda s.a.w…

    Walau bagaimanapun bercukur sewaktu mengerjakan haji dan umrah adalah afdal dan disukai. Ali r.a. di dalam kebanyakan keadaannya telah mencukur rambutnya.

    Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Barangsiapa mempunyai rambut maka hendaklah memuliakannya.” Diriwayatkan oleh an-Nasaa’ie daripada Hamid bin Abdul Rahman al-Hamiri katanya: “ Aku telah bertemu dengan seorang lelaki yang telah mendampingi Rasulullah s.a.w. sebagaimana Abu Hurairah r.a. mendampingi Baginda s.a.w. selama empat tahun, telah berkata lelaki tersebut : “Rasulullah s.a.w. telah melarang salah seorang dari kami menyikat rambut setiap hari.”

    Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi di dalam Shamail daripada Hamid bin Abdul Rahman daripda seorang lelaki dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyikat rambut berselang-selang hari. Diriwayatkan oleh an-Nasaa’ie dan at-Tirmidzi daripada Abdullah bin Mughoffal r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. telah melarang kami dari menyikat rambut melainkan berselang-selang hari.”

    Berkata As-Sanadi (yang menulis syarah di bahagian tepi sunnah an-Nasaa’ei) mengenai larangan Nabi s.a.w., Baginda menyikat rambut setiap hari adalah bermaksud perbuatan yang tetap ke atasnya adalah makruh, maka ianya bererti memberat-beratkan berhias diri. Ulamak telah menerangkan bahawa menyikat rambut dan meminyakkan rambut setiap hari (jika tidak ada keperluan untuk berbuat demikian) adalah dilarang.

    Walaubagaimanapun, jika seseorang itu perlu menyikat rambut atas sebab yang tertentu tidaklah mengapa tetapi terlalu kerap menyikat rambut tidaklah baik. Maksud tegahan ini adalah untuk menjadikan manusia itu sedar tentang nilai waktu dan menanamkan keanggunan seorang Mujahid iaitu tidak menyibukkan diri dengan berhias seperti kaum wanita. Oleh itu, sesiapa sahaja boleh menyikat rambutnya bila perlu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...