Disunatkan kepada orang yang membaca ayat sajdah atau mendengar orang membacanya serta dia berada dalam keadaan berwuduk, bersujud kepada ALLAH S.W.T. dengan sekali sujud, tanpa membaca tasyahud, salam dan mengucapkan dua kali takbir iaitu sekali ketika sujud dan sekali lagi ketika bangkit dari sujud
Ada juga yang mengatakan bertakbir sebanyak tiga kali. Pertama takbir ketika niat sujud dan ini dinamakan takbiratul ihram. Ketika itu disunatkan mengangkat kedua-dua tangan seperti dilakukan ketika hendak sembahyang. Takbir kedua ketika turun untuk sujud dan takbir ketiga ketika bangun daripada sujud.
Mengikut jumhur ulama fiqah, sujud tilawah adalah sunat muakkad.
Ibnu Umar r.a. berkata:
“Ketika Rasulullah s.a.w. membaca Al-Quran kepada kami apabila baginda membaca ayat sajdah, baginda sujud dan kami pun ikut sujud.” (Riwayat Bukhari)
Jika ada yang mendengar atau membaca ayat sajdah tidak sujud, maka tidaklah berdosa. Hal ini berdasarkan dalil yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit r.a.:
“Aku membacakan surah An-Najm kepada Nabi, dan baginda tidak sujud.” (Riwayat Bukhari dan selainnya)
Di akhir ayat surah An-Najm terdapat ayat sajdah pada ayat 62.
Dari Rabi’ah bin Abdullah, ketika Sayidina Umar r.a. membaca khutbah pada hari Jumaat, Umar telah membaca surah An-Najm di atas mimbar dan ketika sampai pada ayat sajdah, Sayidina Umar r.a. turun dan sujud serta diikuti para jemaah lainnya hingga pada Jumaat berikut, ketika Umar membaca surah, apabila sampai pada ayat sajdah, lalu Umar r.a. berkata:
“Wahai manusia! Sesungguhnya kita tidak diperintahkan untuk sujud tilawah. Sesiapa yang sujud, nescaya ia mendapat pahala dan sesiapa yang tidak sujud, maka tidak berdosa,” (Riwayat Malik dan Bukhari)
Bacaan ketika sujud sajdah
سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Syarat-syarat sujud tilawah
1. Suci dari hadas dan najis
2. Suci tempat
3. Menghadap kiblat
4. Menutup aurat
5. Bukan pada waktu-waktu yang diharamkan. Manakala Mazhab Syafi’I berpendapat bahawa sujud tilawah boleh dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang. Hal ini dikiaskan dengan sembahyang yang mempunyai sebab kerana setiap sembahyang sunat yang dikerjakan kerana sebab seperti sembahyang tahiyatul masjid dan sunat wuduk,
dibolehkan melaksanakannya pada setiap waktu, sekalipun pada waktu yang dilarang.
Ada yang mengatakan sujud tilawah tidak disyaratkan harus dalam keadaan bersuci kerana sujud tilawah bukanlah sembahyang. Pada pendapat yang sahih, bersuci merupakan salah satu syarat sujud tilawah.
Ayat-ayat sujud Tilawah
1. Surah Al-A’raf ayat 206.
2. Surah Ar-Ra’d ayat 15.
3. Surah An-Nahl ayat 49.
4. Surah Al-Israa’ ayat 107-108.
5. Surah Maryam ayat 58.
6. Surah Al-Hajj ayat 18.
7. Surah Al-Hajj ayat 77.
8. Surah Al-Furqan ayat 60.
9. Surah An-Naml ayat 25-26.
10. Surah As-Sajdah ayat 15.
11. Surah Saad ayat 24.
12. Surah Fushsillat ayat 37.
13. Surah An-Najm ayat 62.
14. Surah Al-Insyiqaq ayat 21.
15. Surah Al-‘Alaq ayat 19
Hukum makmum apabila imam sujud tilawah.
Apabila imam membaca ayat sajadah, nescaya dibolehkan bagi imam sujud tilawah atau pun tidak. Jika imam melaksanakan sujud tilawah maka wajib bagi makmum mengikutinya.
Apabila makmum sengaja tidak mahu ikut sujud bersama imam, batallah sembahyangnya kerana mengikuti imam hukumnya wajib. Jika si makmum tidak mengetahui imam melaksanakan sujud tilawah, misalnya posisi makmum jauh di belakang imam maka tidaklah batal sembahyangnya sebagai makmum kerana makmum itu dalam keadaan uzur.
Jika ketika makmum hendak turun, dan imam mengangkat kepalanya dari sujud tilawah, maka wajib bagi makmum mengikutinya dan tidak meneruskan dari sujudnya. Berbeza dengan sujud yang termasuk dalam rukun sembahyang. Dalam rukun sembahyang, makmum wajib melaksanakannya walaupun imam telah bangkit dari sujudnya kerana sujud tersebut termasuk dalam rukun sembahyang. Tetapi bagi sujud tilawah, hukumnya adalah sunat dan mengikut imam adalah wajib. Fardu mesti didahulukan daripada yang sunat.
No comments:
Post a Comment