HUKUM MELAKUKAN KORBAN
1. Hukum melaksanakan korban adalah sunat muakkad bagi orang yang mampu mengikut jumhur ulama.
2. Korban disyariatkan pada tahun kedua hijrah.
HIKMAH KORBAN
1. Hikmah pensyariatannya adalah bentuk syukur kepada ALLAH S.W.T. atas banyak nikmat yang dianugerahkanNya.
2. Memberi perhatian dan penjagaan maslahat fakir miskin oleh orang kaya pada hari yang penuh keberkatan. Selain terdapat suatu bentuk penghidupan sunnah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s…
SYARAT SAH KORBAN
1. Niat korban.
Salah satu bentuk taqarrub kepada ALLAH S.W.T. dan setiap bentuk perbuatan taqarrub memerlukan niat agar menjadi sah dan diterima. Bersandar kepada sabdaan Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya.”
Niat dilakukan ketika penyembelihan dilakukan. Namun apabila berniat sebelum pelaksanaan penyembelihan, maka tetap akan diterima mengikut pendapat masyhur pada majoriti fuqaha.
2. Memilih haiwan untuk dikorbankan.
Para ulama’ sependapat bahawa ibadah korban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau, kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina. Oleh itu, tidak sah berkorban dengan menggunakan binatang yang lain daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang.
Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Kami syariatkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
(Surah Al-Hajj 22:34)
Tidak terdapat sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah s.a.w. atau sahabat yang menunjukkan mereka berkorban dengan binatang selain daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana korban merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada binatang an‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.
Adapun binatang yang lebih afdhal dikorbankan ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.
Nabi s.a.w. juga telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia seolah-olah telah berkorban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua maka dia seolah-olahnya berkorban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada saat ketiga maka dia seolah-olah berkorban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”
3. Haiwan korban harus sihat dan selamat dari aib yang mengurangi dagingnya.
Haiwan korban yang mempunyai aib tersebut tidak diterima. Bersandar kepada hadis dari Barra’ bin ‘Azib yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Ada empat (aib) yang tidak diterima dalam pelaksanaan korban, buta jelas kebutaannya, sakit yang jelas sakitnya, dan pincang yang jelas, serta patah kakinya yang tidak dapat disembuhkan.” (HR Malik)
Mengikut hadis ini bentuk aib yang ringan tidak membahayakan. Oleh itu, apakah hukum haiwan korban yang memiliki aib setelah dibeli pemiliknya? Apakah dapat diterima atau digantikan dengan yang lainnya?
Mengikut majoriti fuqaha, apabila si pemiliknya tersebut mampu menggantikannya, maka sepatutnya diganti dan apabila orang fakir, maka korbannya diterima.
4. Haiwan korban disembelih pada hari Aidiladha.
Bersandar pada sabdaan Rasulullah s.a.w.: “ Setiap hari tasyrik, dilaksanakan korban.” (HR Ahmad dan Barraz)
Hari-hari tasyrik adalah hari sebelas, dua belas, dan tiga belas Zulhijjah atau dengan kata lain hari kedua, hari ketiga, dan keempat dari hari Aidiladha.
5. Penyembelihan atau korban dilakukan selepas sembahyang Aidiladha.
Maka sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang Aidiladha maka daging sembelihan tersebut hanya sembelihan biasa atau merupakan sedekah biasa.
Diriwayatkan daripada al-Barra’ r.a. katanya: “Bapa saudaraku (sebelah emak) Abu burdah telah menyembelih korban sebelum sembahyang (Hari Raya).” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kambing itu hanya menjadi daging sahaja (tidak menjadi korban dan tidak ada pahalanya).” Beliau berkata: “Wahai Rasulullah, saya mempunyai anak kambing yang masih muda (berumur enam bulan hingga setahun).” Rasulullah s.a.w bersabda: “Sembelihlah ia, tetapi bagi selainmu tidak boleh (tidak sah).” Baginda bersabda lagi: “Sesiapa yang menyembelih korban sebelum sembahyang, ia menyembelih hanya untuk dirinya sendiri dan sesiapa menyembelih selepas sembahyang, sempurnalah ibadat korbannya dan menepati sunah kaum Muslimin.” (HR Bukhari dan Muslim)
6. Orang yang ingin melakukan ibadah berkorban.
I. Orang Islam.
II. Baligh.
III. Berakal.
IV. Berkemampuan.
V. Merdeka.
MEMILIH HAIWAN KORBAN
Para fuqaha berselisih pendapat mengenai pemilihan haiwan korban. Mazhab Maliki berpendapat disunatkan yang memiliki daging yang baik/bagus. Manakala Mazhab Hambali, Syafi’e dan Hanafi lainnya berpendapat yang disunatkan adalah yang banyak dagingnya.
Had cukup umur binatang:-
I. Biri-biri/kibasy – satu tahun atau lebih
II. Kambing – dua tahun atau lebih
III. Lembu/kerbau – dua tahun atau lebih
IV. Unta – lima tahun atau lebih
PERKARA YANG DISUNATKAN DILAKUKAN ORANG YANG BERKORBAN.
1. Disunatkan bagi orang yang berkorban untuk menyembelih sendiri haiwan sembelihannya apabila memiliki kemampuan untuk menyembelih bagi lelaki, sebagaimana yang dilakukan Baginda s.a.w…
Apabila tidak memiliki kemampuan menyembelih, maka boleh mewakilkan kepada yang lainnya, walaupun dengan upah. Disunatkan bagi yang berkorban menyaksikan penyembelihan yang dilakukan.
2. Disunatkan bagi yang sembelih bertakbir.
3. Memilih binatang korban yang gemuk.
4. Melihat penyembelihan dilakukan bagi yang berkorban.
5. Menyembelih ternakan korban di masjid (tanah lapang) bagi memperlihatkan syiar Islam.
6. Melakukan penyembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam dan menghadap ke arah kiblat.
7. Elakkan ternakan korban melihat pisau diasah untuk sembelihan.
8. Orang yang berkorban berdoa ketika sembelihan dilakukan.
PEMBAHAGIAN DAGING KORBAN.
Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan walaupun dalam kadar yang sedikit dari binatang yang di korbannya. Wajib ia menyedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin. Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana dia telah melakukannya.
Diharuskan bagi seorang muslim memakan sembelihannya dan memberikan kepada keluarganya, jiran tetangganya dan sahabatnya. Menyedekahkan daging korban kepada fakir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah di mana orang fakir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya.
Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian:-
1. Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
2. Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
3. Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka berkemampuan.
Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dua pertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah menyedekahkan ke semua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi s.a.w..
Para fuqaha sepakat tidak dibolehkan memberikan bahagian daging korban kepada tukang potong sebagai upah baginya. Namun dibolehkan memberikannya dalam bentuk sedekah dah hadiah setelah diberikan upah lain kepada dirinya.
Tidak dibolehkan menjual sebahagian dari daging korban mengikut majoriti fuqaha. Namun dibolehkan mengambil manfaat dari kulit dan lainnya. Namun lebih baik menyedekahkannya.
Dibolehkan juga bagi satu keluarga berkongsi dalam berkorban. Baik haiwan korbannya kambing, unta, mahupun lembu mengikut majoriti ulama, dan berbeza mengikut sebahagian ulama.
No comments:
Post a Comment