Monday, March 19, 2012

SOLAT SUNAT ISTISQA

    Istisqa dalam bahasa Arab bermaksud minta dicurahkan manakala ulama fiqah mengertikannya dengan meminta dicurahkan air oleh ALLAH S.W.T. ketika kemarau panjang dan kesukaran air dengan mengerjakan sembahyang di tanah lapang atau berdoa di dalam masjid.



HUKUMNYA

    Melaksanakan sembahyang istisqa adalah sunat muakkad mengikut jumhur ulama fiqah. Nabi s.a.w. pernah melakukannya lebih dari sekali, begitu juga dengan para sahabat dan tabi’in dengan melakukan sembahyang atau dengan berdoa sahaja di masjid.


PELAKSANAANNYA

    Imam bersama jemaahnya digalakkan untuk keluar ke sebuah tanah lapang lalu melaksanakan sembahyang sebanyak dua rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan diikuti dengan mana-mana surah pada setiap rakaat. Bacaan boleh dengan suara yang kuat atau perlahan diikuti dengan berdoa kepada ALLAH S.W.T. agar diberikan air dan memohon agar kemarahan dan kemurkaan ALLAH S.W.T. dihilangkan dari hambaNYA.

Imam bersama jemaahnya hendaklah mengenakan pakaian yang biasa tanda merendahkan diri kepada ALLAH S.W.T.

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, dia berkata: Nabi s.a.w (keluar untuk bersolat Istisqa’) dan mengenakan pakaian biasa (bukan pakaian yang indah-indah seperti solat sunat pada Hari Raya-pen) dengan penuh harapan. Baginda bersolat dua rakaat sebagaimana solat Hari Raya, tetapi tidak berkhutbah seperti khutbah yang biasa itu.

    Imam disunatkan berkhutbah setelah melaksanakan sembahyang atau sebelumnya. Berbeza dengan khutbah ketika solat Hari Raya, khutbah untuk solat Istisqa adalah ringkas sahaja. Khutbah untuk solat istisqa lebih kepada memberikan arahan kepada jemaah dan mengingatkan mereka akan ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) ALLAH S.W.T., memberikan peringatan bahawa ALLAH sedang marah dan murka kepada mereka, lalu kemudian mengajak mereka bertaubat kepada ALLAH S.W.T., membersihkan diri masing-masing dari perbuatan menzalimi orang lain dan diri sendiri. Menjauhkan diri dari sifat sombong dan menipu orang lain serta benar-benar menunjukkan sikap hina dan rendah kepada ALLAH S.W.T. yang Maha Esa dan Maha Agung.


ISTISQA DENGAN BERDOA


    Istisqa boleh juga dilakukan dengan cara berdoa di masjid atau tempat lainnya pada hari Jumaat atau hari lainnya, tanpa harus pergi ke tempat lapang untuk mengerjakan sembahyang.

    Dalilnya adalah bahawa suatu hari seorang lelaki masuk ke masjid ketika Nabi s.a.w. sedang berkhutbah di atas mimbar. Orang tersebut lantas berkata: “Wahai Rasulullah! Segala harta benda telah musnah dan jalan-jalan menjadi terputus, oleh itu berdoalah kepada ALLAH S.W.T. agar DIA berkenan menurunkan hujan kepada kita.” Rasulullah s.a.w. lalu mengangkat kedua-dua tangan dan berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH! Turunkanlah hujan kepada kami.”

    Kata Anas r.a.: “Tidak, demi ALLAH S.W.T.! Kami tidak lihat ada mega atau gumpalan awan di langit. Di antara kami dengan gunung tidak ada satu rumah atau perkampungan (yang menghalang pandangan kami untuk melihat tanda-tanda turunnya hujan). Tiba-tiba muncul mega bagaikan perisai di sebalik gunung. Ketika berada di tengah-tengah langit, mega itu mulai melebar kemudian menurunkan hujan. Tidak, demi ALLAH S.W.T.! Kami tidak melihat adanya matahari. Pada hari Jumaat berikutnya masuk pula seorang lelaki dari pintu yang sama, ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang berdiri sambil berkhutbah. Orang itu menghadap baginda sambil berdiri, lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Banyak harta benda yang binasa da jalan-jalan telah terputus (kerana terlampau banyak hujan). Oleh itu, berdoalah kepada ALLAH S.W.T. agar ia berkenan menahan hujan dari kami.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...