Friday, April 20, 2012

LARANGAN SEMBAHYANG KETIKA IMAM SEDANG BERKHUTBAH

    Terdapat beberapa perbezaan dan persamaan di antara keempat-empat mazhab mengenai larangan sembahyang sunat ketika imam sedang berkhutbah. Oleh kerana majoriti Muslim di Malaysia mengikut pegangan mazhab Syafi’e, maka lebih baik untuk menitikberatkan hal ini mengikut pendapat Imam Syafi’e.


    Ulama-ulama Mazhab Syafi’e menyatakan permasalahan ini dalam dua pendapat yang berbeza:

  1. Larangan ini adalah larangan makruh tanzih. (Makruh tanzih ialah perkara yang dibenci tetapi tidak mendatangkan dosa).

  2. Larangan ini adalah larangan makruh tahrim (haram). Pendapat ini disepakati oleh jumhur ulama Hanafiyah.


    Manakala menurut pendapat ulama Malikiyah, larangan mengerjakan sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh dan Asar adalah larangan makruh, manakala larangan sembahyang sunat ketika terbit dan terbenam matahari adalah haram kerana perbuatan itu adalah perbuatan yang mencontohi para penyembah matahari. Begitu juga hukumnya melakukan sembahyang sunat ketika iqamat sembahyang wajib telah dikumandangkan dan ketika imam sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat.


    Pendapat ulama Hanabilah dalam hal ini adalah bahawa mengerjakan sembahyang sunat, meskipun yang memiliki sebab tertentu, hukumnya adalah haram pada waktu yang tiga berikut:

  1. Dari terbit fajar sampailah matahari nampak naik sekitar satu tombak tingginya, kecuali sembahyang sunat sebelum Subuh, maka hukumnya adalah boleh bagi orang yang belum mengerjakan sembahyang Subuh.

  2. Setelah melaksanakan sembahyang Asar sampai matahari benar-benar tenggelam.

  3. Ketika matahari sedang berada tepat di atas kepala (di pertengahan langit) sampai tergelincir. Tetapi, sembahyang sunat tawaf tidak termasuk dalam larangan yang tiga ini kerana di Makah tiada pengharaman waktu untuk melakukan sembahyang sunat. Meskipun sembahyang tersebut hukumnya sunat tetapi boleh dilakukan pada waktu-waktu terlarang tersebut. Demikian juga, tiada pengharaman dalam melaksanakan sembahyang sunat tahiyatul masjid ketika imam sedang berkhutbah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...