Terdapat beberapa perbezaan dan persamaan di antara keempat-empat mazhab mengenai larangan sembahyang sunat ketika imam sedang berkhutbah. Oleh kerana majoriti Muslim di Malaysia mengikut pegangan mazhab Syafi’e, maka lebih baik untuk menitikberatkan hal ini mengikut pendapat Imam Syafi’e.
Ulama-ulama Mazhab Syafi’e menyatakan permasalahan ini dalam dua pendapat yang berbeza:
1. Larangan ini adalah larangan makruh tanzih. (Makruh tanzih ialah perkara yang dibenci tetapi tidak mendatangkan dosa).
2. Larangan ini adalah larangan makruh tahrim (haram). Pendapat ini disepakati oleh jumhur ulama Hanafiyah.
Manakala menurut pendapat ulama Malikiyah, larangan mengerjakan sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh dan Asar adalah larangan makruh, manakala larangan sembahyang sunat ketika terbit dan terbenam matahari adalah haram kerana perbuatan itu adalah perbuatan yang mencontohi para penyembah matahari. Begitu juga hukumnya melakukan sembahyang sunat ketika iqamat sembahyang wajib telah dikumandangkan dan ketika imam sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat.